Friday, March 25, 2011

Graduasi Hazim

Lamanya tak update blog. Macam-macam perkara terjadi di sini sejak dua tiga minggu yang lalu. Gempa bumi, tsunami, radiasi, graduasi dan pelbagai -si lagi...

Kami tinggal jauh di selatan Jepun jadi tidak terkena sebarang kesan dari gempa bumi dan tsunami. Air laut depan rumah ada naik 40cm tetapi tidak ada yang perlu dibimbangkan. Kesan radiasi pula, jauh lagi dari tempat nuklear jadi kehidupan kami seperti biasa. Cuma di supermarket, ada ditampal pemberitahuan yang pengguna tidak boleh membeli air mineral, tisu tandas, mee segera dengan kuantiti yang berlebihan kerana pengeluaran adalah terhad.

Minggu lepas, hari Sabtu, Hazim ada majlis graduasi dari tadika (nak masuk darjah 1 bulan 4 ini). Majlis bermula dengan ucapan dari guru besar, wakil ibubapa, wakil dari sekolah rendah dan penyerahan sijil bermula. Menariknya selepas sijil diambil oleh kanak-kanak tadika, mereka pergi ke tempat ibu/bapa untuk menyerahkan sijil graduasi sambil berkata "terima kasih, mak. Bila besar nanti saya nak jadi ......". Hazim kata dia nak jadi 冒険家 (adventurer). Kebanyakkan ibu-ibu yang hadir mengalirkan air mata melihat anak-anak mereka selamat menerima sijil. Biasalah. Bila masuk alam persekolahan, bermula satu cabaran baru. Kena sama-sama berusaha.

Hazim dengan tanda "peace". Pakai badge 1Malaysia lagi untuk nampak lain dari yang lain.

Antara ucapan/surat tahniah dari guru-guru tadika yang telah bertukar ke tempat lain. Ada juga yang menghantar jambangan bunga (letak di sebelah pentas) sebagai meraikan majlis graduasi.

Bila dah habis dapat sijil, ada nyanyian dari kawan-kawan kelas Hazim. Hazim nampak agak nervous sambil menyanyi. Majlis diakhiri dengan seorang demi seorang kanak-kanak yang telah grad turun dari pentas sambil membawa sekuntum bunga tulip dan berdiri di tengah-tengah tempat majlis. Setiap seorang beritahu selepas ini mereka akan bersekolah di mana. Hazim akan pergi ke sekolah yang sama dengan Haziq. Suka betul bila nak sekolah dengan Haziq. Beritahu Haziq suruh jaga Hazim kat sekolah rendah baik-baik.

卒園、おめでとうHazim!!!!Sayang anak Ummi. Rajin-rajin belajar lepas ini ya!.


No comments:

Post a Comment