Tuesday, December 09, 2014

Memori untuk Abah (1)



Sekujur tubuh di hadapanku seolah-olah sedang tidur. Suasana di hospital pada ketika ini kurasakan sepi. hanya aku dan tubuh Abah yang kaku. Airmataku berjujuran turun. Laju. Hangat. Bukan teresak-esak tetapi hanya perasaan yang sebak.

Abah meninggal pada 19 Oktober 2014 kerana sakit jantung di Terminal Bas di Bandar Tasik Selatan ketika mahu pulang ke kampung bersama Mak. Ditemani oleh Kak Lin, Huda, Abang Joe dan Harry. Ketika panggilan telefon diterima pada jam 11 pagi dari Kak Lin, mengatakan Abah mengalami serangan jantung di terminal bas, hati kecil sudah terdetik yang ada sesuatu akan berlaku pada Abah.

Aku segera ke Hospital HUKM Cheras bersama Haziq dengan air mata berjujuran turun laju. Nafas seakan tersekat dan fikiran melayang entah ke mana. Sampainya di hospital, kulihat Kak Lin sudah menangis. Emak juga begitu. Benarlah, mati itu pasti. Apabila ditanya oleh doktor, apakah yang kami inginkan, semestinya untuk kebaikan Abah. Kami redha sekiranya Abah meninggalkan kami setelah difikirkan perkara yang telah berlaku sebelum Abah pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

Diri ini sungguh kerdil dibandingkan dengan kebesaran Allah. Siapalah kita untuk melawan takdir. Allah lebih meyayangi Abah. Abah pergi dalam keadaan tenang. Mahu berehat katanya kepada aku pada malam terakhir kami adik beradik di rumah Kak Lin. Ketika itu, aku rasa ingin memeluk tubuh Abah yang kurus tetapi aku hanya sempat mencium tangan Abah lantaran malam sudah lewat. Waktu itu juga, wajah abah kelihatan bersih dan sedikit pucat. Abah tidak banyak bercakap dan banyak mendengar. 

Walaupun seperti selalu, tetapi kali ini aku dapat rasa kelainan pada Abah. Pergerakkan Abah juga agak perlahan tetapi masih mahu makan bersama dan berbual dengan kami. Kak Iza yang duduk bersebelahan dengan Abah ada bertanyakan penyakit Abah. Kebiasaanya kami tidak pernah mendengar Abah merungut atau mengeluh. Semuanya di katakan tidak ada apa-apa, sihat atau sedikit sahaja sakit tetapi kali ini jawapan Abah kepada soalan Kak Iza agak mengejutkan aku. Abah mengatakan dirinya agak letih dan mahu berehat selepas ini. Siapa sangka Abah memang benar-benar berehat dari urusan dunia yang banyak meletihkannya. 

Al-Fatihah untuk Abah....

Thursday, July 31, 2014

Salam Aidilfitri

Tahun ini tahun kedua kami beraya di Malaysia. Alhamdulillah, dapat rasa macam-macam dan budak-budak pun happy dapat duit raya. Kali ini giliran beraya di Alor Setar sambil ada majlis bertunang Hanim. Warna tema kami pula kelabu satu famili. Tapi paling tak tahan waktu balik kampung sebab 10 jam dalam kereta. Punyalah jem. Disebabkan cuti pun tinggal sikit, semalam bertolak dari Alor Setar pukul 8 malam dan sampai di home sweet home dekat pukul 4 pagi. Fuh, pagi pukul 10 dah start masuk ofis. Rumah masih macam tongkang pecah. 

Apa-apa halpun, kami sekeluarga ingin mengucapkan Selamat menyambut Aidilfitri. Taqaballalahu minna wa minkum. Maaf Zahir dan Batin. Selamat pulang memulakan kerja ya lepas raya!. 



Thursday, July 24, 2014

Pinjaman

Setelah 10 hari dipinjamkan kepada kami terutamanya adik saya sebagai ibu yang melahirkannya, akhirnya Muhammad yang menghidap HLHS hypoplastic (penyakit jantung yang rare dan IJN tiada kepakaran) akhirnya pulang kepada Pencipta yang Maha Esa pada jam 9 malam di hospital, tarikh 23 Julai 2014. Wajahnya yang comel tulus suci dan bersih masih segar dalam ingatan kami. Senyumannya seolah membayangkan masa hadapan pasti menggembirakan ibu bapanya. Rupa-rupanya Allah lebih mengetahui segala-galanya dan aturanNya pasti penuh hikmah. Semoga Irma dan Musa serta kami semua diberi kekuatan dan ketabahan hati menghadapi ujian dari Allah ini. 

Kami tidak menyangka kehadiran Muhammad yang ditunggu-tunggu setelah saya dan kakak mengalami keguguran pada minggu ke 9, bulan 3 tahun ini akhirnya pergi jua meninggalkan keluarganya. Semoga Muhammad menanti di pintu syurga kehadiran ibu bapanya dan saudaranya, inshaAllah.

Monday, July 21, 2014

Demam

Dua minggu lepas, hari Selasa, Fahim mula demam panas. Mula-mula bagi minum Pharmol, ubat demam yang doktor bagi. Memang sentiasa ada ubat tu dalam peti sejuk. Tapi bila terlalu tinggi panasnya, siap Teacher Taska call kata badan Fahim panas sangat so bawa terus ke klinik. Doktor bagi antibiotik tapi dua hari pun still tak sembuh. Suhu dah macam yo-yo. Hari Jumaat, bawa jumpa doktor kat klinik yang lain pula. Tukar antibiotik. Tapi malamnya suhu naik sampai jadi 39 deg. Kenalah masuk ubat SUPP (bon***). Kesian tengok Fahim macam tak larat ajer. Tapi bila suhu dah turun Fahim nampak aktif. Ingatkan dah sihat, tengok-tengok malamnya dia demam panas lagi. Siap menggigil. Bila bawa jumpa doktor kat klinik Annur, dia buat test darah. Alhamdulillah bukan denggi. 

Esoknya bawa jumpa pakar sebab dah 7  hari tak surut demamnya. Doktor Khairul kat Pakar Annur check telinga, tekak, dada semualah tapi tak jumpa sebab apa demam so doktor kata bagi minum ubat demam yang agak kuat. Fahim nih demam disebabkan virus so terpulang pada antibodi dia untuk lawan virus tu. Malamnya Fahim demam panas dan terpaksa guna SUPP tuh lagi. Alahai, 3 malam berturut guna ubat masuk bon***. Siap muntah lagi. Menggigil pun ada. Kaki dan tangan pun sejuk. Rupanya mengigil tu sebab kat luar sejuk tapi dalam badan panas so jangan selimutkan baby sebab takut lagi panas. Basahkan kepala supaya suhu turun. Panik juga tengok Fahim demam panas. Dia bukan suka guna Cool Fever yang tampal kat dahi. Habis ditanggalkannya. 

Dua hari lepas tuh jumpa Dr. Khairul lagi. And Dr. Khairul bagi antibiotik yang kuat cuma rasanya sangatlah tak sedap. Fahim memang suka makan ubat tapi bila dapat antibiotik nih memang dia nak muntah. Kesian kena makan ubat banyak. Alhamdulillah lepas minum antibiotik dan demam selama 8 hari, Fahim pun sembuh. Risau sebab doktor kata nak masukkan wad kalau dua hari lagi tak turun suhu badannya. 

Sekarang nih, Fahim dah mula aktif dan banyak makan. Marah sungguh dia kalau lambat makan nasi. Lepas baik demam hari tuh bawa Fahim pergi urut kat makcik urut di Kg. Datuk Abu Bakar Baginda. Nampak ada perubahan. Cuma waktu nak hantar ke Taska, dia menangis. Yerlah cuti dekat dua minggu lebih. Ummi pun terpaksa ambil cuti sampai 4 hari jaga Fahim. Cuti dah makin sikit....InshaAllah Fahim akan lebih sihat lepas nih ya...


Monday, July 07, 2014

Kegembiraan

Hari ini kami berbuka tanpa Ayah sebab macam biasa, Ayah outstation. Disebabkan kad Astro telah disembunyikan oleh Ayah, maka Haziq dan Hazim terpaksa bertabah hati tengok channel biasa (TV3 dan mana -mana channel yang ada cartoon). Tak tahulah nak kata kejam ke tidak tapi memang Umminya pening kepala kalau asyik tengok tv. So, untuk mengelakkan Ummi pening, awal-awal lagi Ayah dah simpan kad Astro. 

Bila tiba waktu berbuka, semua dah kat meja,
Ummi: "Antara waktu yang dimakbulkan doa adalah waktu nak berbuka puasa".

Haziq pun mula baca doa makan dan berbuka puasa. Okla..Ummi, Hazim dan Fahim pun ikutlah menadah tangan meng-aminkan doa...bila dah habis doa berbuka puasa, ingatkan nak start ambil kurma tapi Haziq sambung lagi dengan....

Haziq: "Ya Allah Ya tuhanku, kembalikanlah kegembiraan ku (kad Astro lah tu!)". 
sambil mata mengerling tengok Ummi dan sengih.

Aduh!

Friday, June 27, 2014

Ramadhan

Tinggal lagi satu hari untuk kita masuk bulan mulia, bulan Ramadhan. Kalau di Jepun, masa berpuasa memang panjang sebab jatuh pada musim panas. Teringat tahun terakhir kami berpuasa di Jepun. Alhamdulillah, waktu tu cuti musim panas jadi Haziq dan Hazim dapat berpuasa di rumah. Haziq dan Hazim cuma dibenarkan keluar pagi main di taman sebab belum panas lagi. Sahur pula pukul 3 pagi dan matahari naik pukul 5 tak silap. Kadang-kadang kami bangun bersahur nak kena senyap-senyap sebab jiran pernah kata agak bising di dapur pada awal pagi. Awalnya bangun dan macam-macam. So maknanya mungkin dia terganggu. Huhu. itulah cabaran di negara orang bukan Islam. Mereka selalu bertanya," tak mati ke kalau berpuasa di musim panas macam ni?. Takut dehydrate". Saya senyum dan terangkan tentang hikmah bersahur. Orang Jepun selalu suka kaitkan dengan sains jadi saya akan terangkan puasa dari segi sains juga. Alhamdulillah, mereka boleh terima dan kadang-kadang tidak makan di depan saya kalau ada perjumpaan komuniti.

Tahun lepas, buat kali pertama kami telah berpuasa di Malaysia dan yang tak boleh dilupakan sebulan saya di hospital kerana masalah dengan kandungan (waktu mengandungkan Fahim). Seminggu nak raya baru doktor release balik rumah dengan syarat lepas raya kena datang balik hospital. Kasihan bila balik rumah tengok Haziq dan Hazim kurus sebab berpuasa dan bersekolah pada waktu yang sama. Alhamdulillah diaorang dapat berpuasa penuh. InshaAllah tahun ini, saya berdoa supaya kami sekeluarga dapat melalui bulan Ramadhan dengan penuh penghayatan dan dapat melakukan ibadah yang lain. Ramadhan Mubarak untuk semua!!

Display makanan di bahagian depan restoren Jepun. Menarik kan walaupun bukan makanan betul.

Tuesday, June 24, 2014

Fahim dan Taska

Dah hampir sebulan, Fahim dihantar ke Taska. Walaupun mula dari bulan 1 tapi sebab masih ada pembantu di rumah, jadi cuma sekali sekala hantar ke Taska. Tapi sejak pembantu tu pun dah balik Indonesia 20/5 so Fahim kenalah gi sekolah macam Abang Haziq dan Abang Hazim. Mula-mula hantar ke Taska (last month) mestilah nangis. Fahim dan juga Umminya. Teringat waktu hantar Haziq dan Hazim di nurseri kat Jepun. Berbeza sungguh Taska Malaysia dan Nurseri Jepun. Tapi Alhamdulillah Taska yang Fahim pergi ni dekat dengan tempat kerja so waktu rehat pecut tengok Fahim ok atau tidak.


Cikgu  Taska kata Fahim suka melekat sama seorang cikgu sahaja. Kalau dia dah suka dengan cikgu tuh, Fahim akan ikut ke mana sahaja cikgu tuh pergi termasuklah bila cikgu nak solat. Makan tengahari pun taknak ramai-ramai. Baru hari ini cikgu kata Fahim dah nak makan nasi tengahari. Itupun cikgu akan suap dia seorang sahaja. Mungkin sedikit demi sedikit Fahim akan belajar bergaul dan bermain sama kawan-kawan. Tapi tak tahan sungguh bila setiap kali hantar mesti Fahim akan melalak tapi bila time nak balik, tengok Fahim happy sahaja dapat main sama kawan-kawan. Besar sungguh cabaran ibu bekerjaya. Mental dan fizikal kena kuat terutamanya buat yang takde pembantu rumah dan dapat pula suami yang asyik kerja. Huhu....esok gambare yo Fahim-kun....



Monday, June 23, 2014

Menulis

Sabtu lepas, saya menghadiri jemputan kahwin seorang kawan waktu di MRSM Jasin di Temerloh, Pahang. Sebenarnya sudah dekat 20 tahun tak jumpa jadi memang ini peluang terbaik untuk menjalin hubungan silaturahim kami. Sampai sahaja di depan rumah kawan, " eh, kenapa ada khemah tapi takde orang?", dalam hati sambil tengok suami. Rupanya kenduri di sebelah malam selepas nikah. Alahai, kes tak tengok kad kahwin betul-betul nih.

Kebetulan, ramai pula kawan dari MRSM Jasin yang dulu satu geng, pun ada di rumah kawan yang nak kahwin ni. Puas sungguh berbual-bual, usik mengusik, keluar cerita lama etc. Dalam ramai-ramai tu, ada pula seorang kawan yang bertanya, "eh, bukan ko dulu suka menulis?". Terus tersentak!.

Teringat balik hobi saya yang dah lama ditinggalkan. MENULIS!!. Sejak sambung belajar Master, PhD dan jadi pensyarah ni, asyik menulis cerita yang boring dan membaca tulisan student sahaja. Itulah pasal rasa cepat sangat otak karat dan tak bermaya nak fikir benda-benda yang kreatif. Menulis ini sebenarnya boleh menjadikan seseorang lebih kreatif. Rindu saat menulis dulu-dulu. Rasanya banyak tulisan sendiri bila dibaca balik, terasa seronok dan happy. Ok. Saya berjanji, saya akan luangkan masa untuk menulis apa yang dalam fikiran untuk jadi lebih bebas dan kreatif. Teringin untuk kembali saat idea menulis banyak. InshaAllah.

Oh ya, Ramadhan Mubarak untuk semua!

Congratulations Shima!!

Friday, March 21, 2014

Motivasi

Dah dekat setengah tahun blog tak ber~update. Busy dengan teaching, family dan benda lain sampai lupa minat menulis. Bila fikir balik, sayang betul minat kalau tak diteruskan. Lupa juga tujuan buat blog ni. Bila tengok entri lama, baru nampak pasal apa buat blog.

1) nak update family and friends pasal life di Jepun,
2) nak tinggalkan kenangan bersama keluarga ke sana ke sini dalam blog,
3) nak beri tips macam2 pada yang readers,
4) muhasabah diri,
5) minat menulis.

Tapi bila masa dibahagikan dengan pelbagai tugas hakiki, apa motivasi nak menulis di blog?. Fikir, Hanny...fikir....