Monday, March 05, 2012

Wayang Kulit

Watak pertama dah siap (Emperor China). Bolehlah setelah berapa tahun tak melukis...

Semalam, birthday Haziq yang ke sembilan. Pagi-pagi dah ajak tengok wayang cerita Doraemon. Best jugaklah. Baliknya singgah kedai kek untuk ambik yang dah order 2 minggu (kalau minta jangan masuk alkohol, shortening etc kena order awal). Ada cream puff lagi. Tak sabar semua nak sampai rumah makan kek. Yerlah bukan selalu dapat makan kek yang kat kedai. Umminya buat kek mana sedap macam kat kedai. 

Petangnya kami buat kelas melukis. Dua minggu lagi, ada buat persembahan wayang kulit (kelas perkenalkan budaya Malaysia pada budak Jepun), kenalah lukis sendiri watak penting. Tapi takkan nak cerita Ramayana ker cerita yang selalu digunakan dalam wayang kulit kat Malaysia. Tak retilah Umminya. Jadi sekarang tengah nak alih bahasa cerita Hang Tuah makan kangkung untuk tengok muka Maharaja China. Harap-harap berjaya buat Hang Tuah pula. Haziq pula sibuk lukis dinosaur, Hazim lukis Pikachu. Dua-dua suka tengok Ummi buat guna warna air. Dah lama tak melukis dengan pegang berus warna. Rasa keras sangat tangan. Rindu betul nak melukis. Tunggu dah masuk kerja baru nak start projek melukis kat rumah. 

Saturday, February 25, 2012

Strawberi

Haziq paling banyak makan

Hazim jenis kumpul banyak dan lepas tuh baru makan

Ladang strawberi. Bersih ajer..

Semalam tengok tv ada buat ichigo gari (petik strawberi). Macam sedap ajer jadi pagi tadi buat rancangan mengejut ke ladang strawberi. Kebanyakkan ladang strawberi kena tempah tapi semuanya penuh jadi kami pergi yang tak perlu tempah. Cuma kena datang awal takut strawberi dah habis. Kami pergi ke Buzen Fruits Land dalam 1 jam setengah dari rumah. 

Tempatnya memang terpencil tapi pemandangan atas bukit dengan pokok-pokok semua memang indah. Tak sempat nak ambil gambar. Bayar untuk dewasa dalam 1,500 yen dan dalam 30 minit makanlah selagi mampu. Nak bawa balik pun boleh. Kami pergi ladang strawberi jenis Amaou, strawberi paling popular di Fukuoka sebab manis dan besar. 

Setengah jam dalam ladang nih memang heaven!!. Strawberi cicah dengan susu pekat, sedap sangat!!!. Haziq paling laju makan. Cari strawberi dari satu baris ke baris yang lain. Tak boleh langkah sebab takut terpijak strawberi. 

Haziq ternampak macam pokok bawang besar kat celah-celah pokok strawberi dan dia sibuk tanya kenapa tanam pokok bawang besar. Hazim pula yang jawab kata lagi bagus tanam celah strawberi  supaya rasa buah strawberi lagi sedap. Lepas tuh ada orang Jepun tergelak dengar Hazim cakap dan tanya kat orang yang jaga ladang kenapa ada tanam pokok bawang. Rupa-rupanya bukan pokok bawang besar tapi pokok bawang putih. Tujuannya untuk elak tanah dan pokok dirosakkan oleh ulat dan nak kualiti tanah sentiasa baik. Ooo...kami pun ikut sama belajar. Bagus kalau tanam pokok bawang putih dengan pokok sayur yang lain. Nak cuba lah nanti....

Friday, February 24, 2012

Terakhir

Keadaan dalam Kyushu Dental University. Cantik sangat sebab baru kot..

Alhamdulillah. Hari Rabu lepas dapat telefon dari ofis fakulti kata dah lulus viva dan boleh dapat doctorate degree bulan 3 nih. Berita menggembirakan lagi satu lak, dapat Anugerah Dekan. Surat rasmi cuma akan keluar hujung bulan 2 nih agaknya. Research yang memang mencabar dengan kena travel ke Turki untuk conference, Thailand dan Malaysia untuk fieldwork interview. Jadi rasa berbaloi segala penat lelah siapkan dissertation semua. Berkat doa dan kata-kata perangsang dari supervisor, suami, keluarga serta rakan-rakan semua, takde yang mustahil selagi ada usaha dan tawakal pada Allah. Tak sabar pula nak tunggu graduation day. Kalau kat Jepun takde pakai jubah convo jadi cadangnya nak pakai baju kurung saja. Wanita Melayu Terakhir gituh...

Hari Khamis bawa Haziq jumpa doktor pakar untuk gigi dia yang rosak sebab terjatuh kena pintu rumah. Memang doktor gigi (merangkap Professor di Kyushu Dental University) nih baik dan terangkan secara detail apa yang dia akan buat. Memandangkan gigi kekal Haziq belum keluar sangat jadi doktor cadangkan jumpa lagi sebulan untuk monitor gigi susu dia yang dah rosak sekali. Banyak gak belajar dari doktor gigi nih sebab dia ada tunjuk slides dia buat presentation kat conference (in English). 

Hari ini pula ada ajar budak-budak Jepun kelas Haziq cara buat puding jagung dan kuih keria. Tak sangka diaorang suka sangat dengan kuih keria. Semua seronok waktu masak-masak. Kelas Haziq nih ramai budak lelaki jadi sekejab-sekejab asyik main ajer. Huhu.. tak hairanlah kalau suara sensei memang kuat. Semua budak boleh diam bila dengar suara sensei tinggi nak marah. 

Nak balik, sensei Hazim pula jumpa sebab nak bincang kelas pendidikan seni bulan 3 nanti. Cadangnya nak perkenalkan "Wayang Kulit" kat diaorang dan ajak budak-budak darjah 1 dan 3 lukis patung sendiri yang boleh gerakkan tangan dan kaki. Harap-harapnya menjadilah:)

Wednesday, February 22, 2012

Asari


Tak berselera nak makan nasi dan malas betul nak defrostkan ayam serta daging, terutamanya musim sejuk nih. Haziq dan Hazim pun kurang suka makan ayam dan daging. Tapi kalau ikan memang diaorang makan banyak. Tapi beberapa hari lepas pening fikir nak masak apa. Sempat keluarkan "asari" (sejenis kupang) dari peti ais. Asyik masak spaghetti letak tomato tapi kali nih, buat style Japanese. Guna serbuk "katsuo" (sejenis ikan) dan masukkan "wakame"(rumpai laut) serta masukkan "asari" tadi. Disebabkan Haziq dan Hazim kurang gemar makan tomato, potong kecil-kecil dan masukkan akhir sekali. Adalah sikit warna merah tomato tapi rasa tak macam tomato. Bila ada kuah sikit dalam spaghetti, barulah Haziq dan Hazim laju makan. Diaorang nih dah lidah Jepun agaknya jadi bila ada rasa "katsuo", barulah berselera nak makan. Kalau nampak merah macam sambal, mesti diaorang reject sebab takut pedas. Cuma Hazim berani cuba makan pedas. Tapi lepas tuh minum air bergelas-gelas:))