Thursday, December 31, 2009

Yuki

Tengah khusyuk belajar main ski. Instructor tuh yang pakai baju merah, tak pakai baju jaring kuning. Dia tunjuk kat kitaorang dia cuma pakai t-shirt lengan pendek kat dalam sedangkan kami yang lain ada yang pakai 2 helai baju lengan panjang. Lepas 15 minit kami belajar main ski, panas sampai berpeluh!.

Osa Ski Resort - Tak ramai orang pun. Seronok!

Nak naik sampai ke puncak pakai chair lift tapi masa dah takde. Next year pulak.

Memang cantik pokok-pokok di sini diseliputi salji.

Kami bergambar kenangan sebelum pulang. Esoknya, semua orang sakit-sakit badan dan kaki..Huhu...

* Semua gambar kat sini kredit to Ani Wakamatsu. Thanks Ani!.


Seronok

Hari Selasa yang lepas, kami bermain ski beramai-ramai di Osa (Hiroshima). Sewa satu bas sama orang Malaysia yang duduk di Wakamatsu (40 minit dari Moji kalau naik kereta). Semuanya 28 orang termasuk baby. Bertolak pukul 7:10 pagi dan sampai di tempat ski pukul 11 pagi. Lepas ambil barang-barang yang di sewa, tukar baju dan lain-lain barulah kami semua masuk ke "gelanggang".

Tempat ski nih memang dalam gunung betul dan kelilingnya banyak tempat ski yang lain. Tapi Osa nih lebih kepada family environment sikit. Landai dan ada tempat khas untuk kanak-kanak. Chair lift pun ada banyak tapi disebabkan kami nih budak baru belajar so tak naiklah chair lift sampai atas gunung. Tengok yang dah pro semua turun laju aje dari atas.

Pukul 1 tghari kami (6 orang dewasa dan 3 orang budak) ambil kelas belajar main ski dengan instructor yang sabar ajer melayan karenah kitaorang. Seronok belajar main ski. Dia ajar dari macam mana pakai boot ski sehinggalah macam mana nak berhenti, belok dan lain-lain. Kalau tak ambil instructor memang lambat pandai. Hazim paling cepat dapat dan bersungguh-sungguh belajar.

Hasil 2 jam kami belajar, tara!!!!!. Kalau yang asyik jatuh waktu nak meluncur, lepas belajar terus pandai imbang badan dan boleh berhenti time meluncur atas salji. Lepas ini, tak payah ambil instructor dan boleh belajar sendiri. Lepas dah penat main salji, main ski, ambil gambar beramai-ramai dengan berlatarbelakangkan gunung yang diseliputi salji, barulah kami beransur balik pukul 5 petang. Sampai di Kokura semula hampir pukul 9 malam. Apa-apa halpun, memang seronok trip main ski nih. Tahun depan kena buat lagi tapi nak cuba bermalam di sana pula.

*Gambar kena update lain kali ya.




Monday, December 28, 2009

Cuba

Cuba dan tengok komen sistem yang baru pula...

Ski

Esok kami akan bermain ski di Hiroshima beramai-ramai dengan orang Wakamatsu, Iizuka.
Nama tempat ski ialah Osa.
50% course yang ada kat sini untuk keluarga dan orang yang pertama kali main ski.

Maskot tempat ski nih penguin so bolehlah diaorang yang bawak budak-budak main dengan penguin dua ekor.

Kami sewa bas sederhana besar, naik dari Kokura Station dan terus sampai tempat ski.
Tiga jam perjalanan.

Senang bila sewa bas nih.
Tak letih nak fikir macam mana nak bawa kereta, pasang chain dan sebagainya.
Habis bermain ski, penat-penat, semua boleh tidur dalam bas.
Semoga esok kami semua selamat pergi dan balik.

Baru

Haloscan dah kena bayar.
Time nak import tah mana salah, habis hilang semua komen sebelum nih..:(
Tukar guna DISQUS lak.
Try and Error

dah jumpa balik komen dulu-dulu.:)
Tengah nak try import masuk DISQUS lak.
Hopefully berjaya.

Saturday, December 26, 2009

Taman

via here


Taman Jepun memang terkenal dengan binaannya yang unik dan mampu menenangkan perasaan setiap pelawat. Kalau lihat di kebanyakkan rumah Jepun, pasti ada taman walaupun kawasannya sekangkang kera. Di dalam setiap taman mesti ada tsukubai (蹲)atau dikenali dengan washbasin/besen? berisi air. Dulu, tsukubai digunakan untuk berkumur dan membersihkan tangan (sebagai tanda membersihkan jiwa) sebelum menghadiri majlis minum teh hijau (茶会).

Tsukubai diperbuat dari batu dan terdiri dari 5 binaan kecil (unsur) di kelilingnya.


1) Chozubachi (手水鉢)- batu/besen yang ada air dalamnya dan kadang-kadang ada buluh berisi air di atasnya
2) Mae Ishi (前石)- tempat pijak untuk mengambil air dalam chozubachi (letak depan chozubachi)
3) Teshoku Ishi (手燭石)- dulu digunakan untuk letak lampu pelita (sebelah kiri chozubachi)
4) Yuoke Ishi (湯桶石)- untuk meletak air panas ketika musim sejuk (sebelah kanan -bertentangan dengan teshoku ishi)
5) Umi (laut) - kawasan sekitar batu (yang ada batu-batu kecil)

Boleh refer website ini untuk penerangan lebih lanjut dan cara meletak batu-batu berkenaan.
Di sini pula ada penerangan tentang Taman Jepun tapi maaf hanya dalam bahasa Jepun.


Wednesday, December 23, 2009

Gambar

Ini salah satu bangunan utama dalam tapak istana Tamamo. Suka gambar nih sebab berlatarbelakangkan langit biru, awan putih, matahari menyinar tapi suhu 5deg ada kot!.

Haziq dan Hazim bawah pokok Pine (kalau tak silap) yang telah dibonsaikan, depan perpustakaan (dulu).

Jambatan kecil dalam kawasan istana.

Depan pintu masuk. Belakang tuh rumah pengawal. Kawasan istana dikelilingi dengan air laut.
Ini rumah pengawal juga. Time nih air laut tak pasang. Tangga kat dalam rumah pengawal nih yang teramatlah cerun.

Dalam perjalanan balik, singgah kejab di taman bawah jambatan Seto (瀬戸大橋記念公園). Angin kuat time nih so berhenti untuk ambil gambar sahaja. Sejak duduk di Moji, kami memang suka jalan-jalan sambil tengok jambatan dan laut.

Monday, December 21, 2009

Takamatsu

Hari Sabtu lepas tenghari kami bertolak ke Takamatsu di Kagawa Prefecture (Pulau Shikoku). Bila lalu Jambatan Seto memang angin tengah kuat. Kereta pula terhoyong hayang. Cantik pemandangan jambatan waktu malam. Sampai Takamatsu dalam pukul 6 lebih. Hari pun dah gelap. Tanya orang hotel kat mana nak mandi onsen pula takde yang untuk family so kami buat keputusan lepas check in untuk pergi makan kat Japanese Restaurant(寿し勝)berdekatan dengan hotel. Kami beri 5 bintang penuh untuk makanan kat kedai nih!. Sedap sangat. Semuanya ikan dan makanan laut yang segar-segar belaka. Nak balik, Haziq dan Hazim siap kata "Sedap" berkali-kali kat tuan kedai.

Sanuki Udon pula cukup popular di Kagawa. Esok pagi kami sarapan dengan udon. Memang sedap udon kat sini. Mee udonnya kenyal dan lauknya cukup simple. Lepas sarapan, kami bertolak ke Tamamo Castle (玉藻城). Istana ini amat terkenal di Jepun kerana cuma ada 3 istana yang dibina berhampiran dengan laut dan dikelilingi oleh air laut. Sebenarnya yang ada sekarang hanyalah tapak istana sebab istana dah runtuh tahun 1869. Tapi kalau tengok rumah pengawal memang hebat. Besar. Kami pun boleh tersilap ingatkan yang ini istananya. Di rumah pengawal yang paling besar, nak panjat tingkat 3 pun takut sebab tangganya cerun. Kalau orang gayat memang tak boleh turun. Naik ok rasanya. Pokok-pokok dalam taman Tamamo pula cantik dan terjaga.

Lepas tengok tapak istana di Takamatsu, kami bergerak balik. Tak banyak tempat untuk tengok-tengok di Takamatsu. Sempat singgah R&R di pulau kecil tengah-tengah Jambatan Seto. Angin kuat sebab memang di tengah-tengah lautan memisahkan pulau Honshu dan pulau Shikoku. Dalam perjalanan nak pulang ke Moji, kami sempat singgah di Saijo, kampung kami dulu. Lepas makan tengahari di rumah Awin & Fendi, jumpa kohai batch 14, Abu Bakar n family, kami pun bertolak balik. Sampai rumah pukul 8 malam dan sempat tengok drama (final) Jin. Huhu...Lepas nih tak tahu nak tengok drama apa pula...

* gambar menyusul kemudian ya...

Friday, December 18, 2009

Bijak

Pernah tak dapat kata nasihat dari budak umur 5 tahun yang lebih kurang begini bunyinya,

"Bila gaduh, dua-dua orang kena cakap (perkara apa yang tak puas hati). Kalau tak cakap, sampai bila pun tak boleh baik semula".

Betul jugak bila fikir balik (untuk orang seperti saya yang suka memendam perasaan).....


Thursday, December 17, 2009

Ghibli


Rasanya semua suka tengok anime Jepun.
Terutamanya dari Ghibli Studio.
Pengarah Miyazaki memang bijak mengabungkan unsur alam semulajadi dengan fantasi dalam filem anime yang bukan sahaja sesuai ditonton oleh kanak-kanak tetapi orang dewasa juga.
Dari filem "となりのトトロ” (My Neighbour, Totoro), Howl's Moving Castle, yang terbaru Ponyo dan yang akan datang pula "借りぐらしのアリエッティ(Karigurashi no Arietty)" dan banyak lagi.

Karigurashi no Arietty mengisahkan tentang manusia kerdil yang tinggal di bawah lantai rumah manusia normal. Manusia kerdil ini selalu meminjam barang dari manusia normal. Arietty ialah seorang budak perempuan (manusia kerdil) berusia 13 tahun yang bertemu dengan seorang budak lelaki (manusia normal). Kisah dalam filem ini berkisar tentang persahatan mereka berdua.

Filem ini adaptasi dari novel UK bertajuk "The Borrowers" (1952) dan akan keluar Summer 2010. Nampak macam menarik. Tak sabar nak tunggu!.

Cute



Terjumpa video nih dalam Just Jared.
Cute sangat tengok budak nih nyanyi lagu I'm Yours dengan main ukulele.
Especially bila dia garu muka yang gatal...
* Dia nih anak Jepun, baru umur 5 tahun.


Tuesday, December 15, 2009

Ucapan

Di Jepun, memberi ucapan amat penting.
Kalau selamat pagi, "ohayo gozaimasu".
Kalau tengahari, petang pula "konnichiwa".
Malam, "konbanwa".
Nak tidur atau berehat, "oyasumi nasai".
Nak makan, "Itadakimasu"
Dah habis makan, "Gochiso sama deshita"
Kalau nak angkat telefon "moshi moshi"
Bila dah habis kerja dan nak balik rumah, boleh ucap kat kawan sepejabat "Osaki ni shitsurei shimasu"
Dan macam-macam lagi ucapan. Banyak betul!.

Semalam, waktu hantar Hazim ke sekolah, cikgu-cikgu dia semua kata
"Okaeri"...........
Maknanya selamat pulang/ kembali ke sini.
Terasa dinanti-nanti kepulangan kami di sini. Hehe...
Kami pula menjawab "Tadaima" (Kami/ saya sudah pulang) sambil serah omiyage(cenderahati) dari Malaysia. Bukan main suka lagi diaorang....

Monday, December 14, 2009

Sungai?

Haziq dan Hazim memang lasak. Sesuai dengan namanya budak lelaki.
Satu hari waktu di kampung, lepas mandi Hazim tak terus pakai baju.
Bila suruh cepat-cepat pakai baju, dia buat selamba lari ke sana dan ke sini.

Tok maknya pun kata,
"Nih kalau tak cepat-cepat pakai baju, ada yang kena sunat nih"

Haziq yang kebetulan ada kat situ dan dengar, terus tanya
"Hah, nak pergi sungai ker?"

Aiseh.....

Sunday, December 13, 2009

Kembali

Blog tutup sebentar sebab perlukan masa untuk mengevaluasikan diri.
Kadang-kadang berada di persimpangan, nak teruskan berblog atau berhenti.
Rupanya memang ramai bloggers yang punya perasaan sebegini.

Alhamdulillah, Hazim sudah sihat. Makin aktif dan bijak berbicara.
Segala urusan yang nak diselesaikan waktu balik ke Malaysia seminggu yang lepas pun dapat diuruskan walaupun bukan 100% perfect.

Alangkah indahnya setelah dapat pulang ke rumah di Jepun.
Home sweet home!...
ただいま。。。


Thursday, November 19, 2009

Gumbira

Tahniah buat Kak lin (my 3rd sis)!!!!. Setelah 6 tahun tunggu, akhirnya confirm pregnant 2 bulan. Baru dapat berita gembira nih dari mak pagi tadi. Tumpang gembira sangat-sangat. Walaupun masih baru tapi diharapkan kandungan sihat dan selamat. Jaga kesihatan dan kami di sini mendoakan agar semuanya okay. Tak sabar rasanya nak tengok baby Kak Lin dan Abang Joe. Sure comel macam sepupu-sepupu dia, Haziq dan Hazim...Hehehe...

Tuesday, November 17, 2009

Tag

Selepas keadaan dalam rumah kembali tenang, terfikir nak main jawab tag lepas baca blog Nas. Tapi banyak betul soalan so akak akan try jawab semuanya.

1. Bekas kekasih saya adalah:
Biarlah rahsia......
2. Saya sedang mendengar:
Bunyi air dalam akurium ikan.
3. Mungkin saya patut:
Order ayam kat Baticrom. Stok dah nak dekat habis.
4. Saya suka:
Geletek Haziq dan Hazim, main kaler-kaler, tengok pokok yang kehijauan....
5. Sahabat-sahabat baik saya:
Semua orang yang berkawan dengan saya.....
6. Saya tak faham:
Kenapa orang suka duduk kat Yamada Denki (kedai menjual alat letrik) lama-lama....
7. Saya kehilangan:
kata-kata bila Hazim bertanya "bila Ayah nak balik?" untuk kali ke-10 hari ini
8. Ramai yang berkata:
Lamanya ko kat Jepun. Hakikatnya saya baru tahun ke-4 disini.
9. Makna nama saya:
Hanny (Hani) - gembira
10. Cinta itu adalah:
Ketika memandang ke mata seseorang, jantung terhenti 2 saat dan selepas itu berdegup kencang 2 jam. Boleh ke?..
11. Di suatu tempat, seseorang sedang:
membaca blog ini....
12. Saya akan cuba:
menghabiskan membaca buku cerita "Brisingr" yang telah dibeli 4 bulan yang lalu...
13. Ayat SELAMANYA membawa maksud:
kekal abadi...
14. Telefon bimbit saya:
Iphone dengan casing yang dah retak sedikit.
15. Bila saya terjaga dari tidur:
Check Haziq dan Hazim pakai selimut ke tidak. Takut sejuk...
16. Saya paling meluat apabila:
Saiz jeans dan kasut untuk saya tidak dijual di kedai....
17. Pesta/parti adalah:
Warna-warni dari makanan, hadiah, baju serta raut wajah tetamu
18. Haiwan yang paling comel yang saya pernah temui ialah:
Hmmm...Rasanya semua comel belaka...
19. Peringkat umur yang paling menyeronokkan bagi saya:
umur 7- 12 tahun, waktu sekolah rendah, bawa basikal keliling kampung, jadi detektif aka bomoh kampung, masuk pertandingan macam-macam, dapat pakai lipstik untuk pertama kali dan banyak lagi.
20. Hari ini:
hujan dan sejuk......
21. Malam ini saya akan:
tunggu call dari Korea sebab semalam dapat call time tengah lena tidur jadi cakap pun separa sedar.....
22. Esok pula saya akan:
start baca journal dan buku yang dah bertimbun.....
23. Saya betul-betul inginkan:
bilik kedap suara supaya Haziq dan Hazim bebas bermain dengan suara yang penuh keriangan tanpa mengganggu ketenteraman awam.
24. Ketika anda lihat wajah anda di hadapan cermin pagi ini:
Bersyukur sebab diberikan wajah yang sempurna, lengkap dengan mata, mulut, hidung segalanya....
25. Pusat membeli-belah atau arked permainan:
Dimana saya tidak perlu bimbang Haziq dan Hazim hilang di celah baju, bilik try baju, atau di tempat yang ada UFO-cather
26. Makanan Barat atau Jepun:
Jepun sebab saya suka ada banyak sayur dan ikan...Menyihatkan...
27. Bilik yang terang atau gelap:
Kalau nak kira majoriti mestilah bilik yang terang sebab saya risau bilik gelap-gelap nih. Macam kat dalam gua ajer...
28. Makanan segera adalah:
Maggi. Tapi dah lama tak makan Maggi. Rindu pula....
29. Ayat terakhir yang anda katakan pada seseorang:
"Tidur. Dah pukul berapa nih. Esok nak sekolah kan?..." kata kat Haziq pukul 9:10 malam tadi sebab dia asyik main dengan Hazim dalam selimut..
30. Siapa yang anda mahu tag:
Saya nak tag Farah, Nani, Izan dan siapa-siapa yang rasa nak buat. Silakan...

Monday, November 16, 2009

Influenza

Hari Khamis, Haziq demam panas sangat. Bawa gi jumpa doktor. Lepas tuh bila buat influenza test, result nyer negative tapi doktor kata mungkin baru lagi demam jadi result negative. Kalau malam masih panas lagi kena bawa jumpa doktor esok. Bila bawa jumpa doktor esok, buat test sekali lagi pun result masih negative. Yokatta....Hari Sabtu suhu badan Haziq kembali normal.

Petang Sabtu pula, badan Hazim yang panas. Hazim memang jarang kena demam. tapi kalau dia sakit, takut jadiknya. Malam Sabtu, bawa jumpa doktor tapi bila buat influenza test, resultnya negative. Malam itu juga, Ayah kena outstation ke Korea. Lepas hantar Ayah ke stesen keretapi, bergegas balik semula ke klinik untuk ambil ubat. Memang terkejar-kejar juga masa nih.

Sampai rumah, angkat Hazim dan Haziq yang dah tertidur kat kereta masuk rumah. Malamnya, Haziq mengigau kata nampak benda hitam. Lepas tepuk-tepuk barulah dia tidur balik. Suhu badan Hazim pula macam yo-yo. Kejab 38deg kejab 37deg. Tapi memang panas. Kena tampal penurun suhu badan kat ketiak, leher, pergelangan tangan, pergelangan kaki dan dahi. Atas kepala pula letak saputangan yang direndam dengan air ais.

Esok pagi, suhu badan Hazim masih panas. Waktu ini terfikir nak bawa jumpa doktor sekali lagi. Tergerak hati manalah tahu influenza. Tapi siang semalam, suhu badan dia turun dalam 36.7deg. Bila masuk maghrib terus naik jadi 39deg. Tengok Hazim terkulai ajer dekat sofa. Bagi makan ubat demam pun tak turun. Terus capai kunci kereta, angkut Haziq dan Hazim naik kereta dan drive ke emergency hospital (hanya buka hari cuti dan hari biasa pukul 7:30 - 11:30 malam) dalam 20 minit perjalanan dari rumah.

Sampai sahaja di hospital ramai juga budak-budak yang demam. Sukat suhu kat hospital nih , suhu badan Hazim dah sampai 40deg!!!. Tak lama tunggu giliran terus dapat jumpa doktor. Doktor check sana sini dan buat test, resultnya positive influenza type A. Nak kata terkejut tuh tidaklah sebab otak tak boleh fikir. Asyik fikir nak bagi suhu badan Hazim turun. Takut juga kalau panas sangat boleh jadi sawan.

Lepas ambil ubat Tamiflu, bagi makan ubat dalam kereta. Mulanya Hazim taknak kata nak tunggu sampai rumah tapi pujuk juga kata nanti sampai rumah dah tidur, susah nak makan, akhirnya dia makan juga ubat Tamiflu. Sampai rumah dah pukul 10 malam. Ayah call, kena bagi laporan ringkas pasal Hazim (sebenarnya nak nangis tapi tahan juga..huhu) dan terus check lagi suhu badan Hazim. Malam memang tak boleh nak tidur. Kena monitor suhu badan Hazim.

Adalah dia meracau tengah-tengah malam kata banyak mushi (kumbang) kat atas tilam, bila tanya dia buat no respond, tangan dia menggigil dan sebagainya. Panik memang panik tapi kena bertenang. Bagi makan ubat demam pukul 12 malam, lepas itu barulah suhu badan Hazim turun dalam 37deg.

Bangun pagi tadi (Isnin), bila ukur suhu badan barulah turun jadi 36.5deg. Lega sikit rasanya. Picit badan, tangan dan kaki Hazim sebab dia kata sakit sana sini barulah nampak dia nak bangun. Lepas lap badan, bagi makan ubat dengan makan pisang, Hazim nak berjalan, minta bacakan buku cerita. Sekarang ini, suhu badan dah kembali normal tapi ubat Tamiflu memang kena makan sampai habis (untuk 5 hari). Tak boleh ke sekolah sehingga dua hari selepas suhu badan turun jadi normal.

Pengalaman sungguh bila menjaga anak-anak yang demam panas. Harap-harap Hazim cepat sembuh dan Haziq sihat, insyaAllah.....

Tuesday, November 10, 2009

Teh

Jepun terkenal dengan upacara menghidang teh hijau (抹茶) kepada tetamu. Pernah juga melihat cara membuat teh hijau dari awal hingga akhir. Begitu tertib dan teratur. Sejak akhir-akhir ini, ramai yang memilih untuk belajar menghidang teh hijau sebagai cara untuk menghilangkan tekanan perasaan.

ABC Jepun yang diletak maccha (teh hijau) di atasnya. Gerun tengok!..
Via Ameba GG

Hari ini waktu ambil Haziq, dia sibuk cerita yang waktu kelas bahasa Jepun, mereka ke rumah cikgu lain untuk melihat upacara membuat dan menghidangkan teh hijau kepada tetamu. Bila tanya Haziq minum tak teh hijau?. Kata dia "飲んだよ。だけど、まずかった!"(minum tapi tak sedap). Kata dia lagi, rasanya macam ikan dan bau pula tak best.....huhu...Kecil-kecil dah kena minum teh hijau yang amatlah pahit.

Sunday, November 08, 2009

Malam

Duduk Moji nih banyak betul tempat nak dating. Mojiko Retro, Mekari Park dan Kokura. Semalam lepas makan, kami jalan-jalan ke Riverwalk di Kokura. Lampu Krismas banyak dipasang di pokok-pokok dan atas jambatan pun ada juga. Cantik sangat.

Tengah jalan-jalan atas jambatan nampak ada orang buat show dengan api (Fire Juggling). Berhenti tengok. Menarik. Orang tuh pun pandai buat lawak sambil buat show. Pernah masuk 世界大会 (World Contest) dapat nombor 4. Tapi tak tahulah contest yang mana. Terhibur rasanya. Haziq dan Hazim pun suka.

Sempat juga ambil gambar 小倉城(Kokura Castle) waktu malam pakai hp. Memang nampak gah dengan dindingnya serba putih. Ada cerita di sebalik dinding warna putih nih tapi lain kali lah cerita ya.....


Friday, November 06, 2009

Jin 仁

Dah lama tak tengok drama Jepun. Asyik layan drama Korea. Tapi bila start tengok Episod 2 drama nih terus suka. Love story, ada part samurai gaduh, part kelakar, semua ada. Tajuk drama setiap Ahad nih, Jin 仁



Watak utama, Doktor Jin Minakata mengembara ke zaman Edo. Dia jumpa beberapa orang penting dalam sejarah seperti Ryuma Sakamoto, Katsu Kaishu, Ogata Koan dan Tatsugoro Shinmon. Menarik sebab boleh belajar sejarah Jepun waktu mula-mula negara ini "buka pintu" untuk orang luar. Oh ya, lagu tema pun best. By Misia, 逢いたくていま

Okoru

Waktu makan malam semalam, Hazim sibuk bercerita dengan mulut penuh nasi.

Beritahu Hazim supaya jangan cakap waktu tengah makan.
Hazim buat muka tak tahu dan terus sambung cerita lawak tah apa-apa dengan Haziq.

Tanya kat Hazim
"Kalau kat sekolah buat tak macam nih?"

Hazim jawab,

"Tak. Kalau kat sekolah, sensei okoru (marah). Hazim kowai (takut)".
Kata Hazim lagi, "Ummi okoru to, Hazim tak kowai. Eh...chotto dake kowai (takut sikit ajer)" sambil sengih-sengih.

Ish..ish..ish..bersabar jer lah dengan budak kecik nih..


Tuesday, November 03, 2009

Touch Panel

Sekarang nih kat mana-mana semua nak touch panel. Iphone, monitor komputer ngan meja pun boleh juga touch panel.

Tapi kadang-kadang tensen bila nak guna google map kat iphone, imej freeze. Tak boleh nak besarkan atau kecilkan. Ada juga waktu nak guna apps yang lain, tak boleh buka apps tuh. Sebab bugs?. atau sebab jari dah hilang sensitivity?. Camne tuh?.

Sedangkan monitor kecil macam iphone pun selalu hang inikan pula monitor komputer. Nampak macam menarik monitor tuh boleh touch tapi kalau jadi macam kat bawah, fikir 2,3 kali gak la.....




CEO Microsoft Japan buat demo Microsoft 7 depan budak-budak tapi touch panel takleh function dengan baik.


Demo di Tokudane pun, touch panel nyer tak boleh function.


Yang ini pun sama problem.

(more stories: NewsProbe, TechEBlog)


Monday, November 02, 2009

Kereta

Minggu lepas hari Rabu lepas Maghrib, dapat call dari tuan punya parking kereta di bawah. Kata dia, bumper depan kereta saya kena langgar dengan kereta (orang lain) yang nak parking. Tempat parking di Jepun nih memang sempit jadi tak hairanlah kalau ada kes terlanggar kereta orang lain. Saya turun dan pergi tengok sebab dari suara dia agak serius. Tapi bila tengok, ooo....tak berapa serius. Calar kat bahagian depan bumper sahaja.

Tuan punya parking ajak masuk rumah dia berbincang. Kata dia, tuan punya kereta itu akan tanggung kos untuk baiki bumper guna insuran kereta dia. Saya kata tak payahlah sebab calar sikit sahaja tapi dia suruh juga claim sebab katanya nampak kesan calar dan tuan punya kereta itu memang orang kaya. Huhu..malas sebenarnya nak uruskan itu ini, ingatkan bila-bila nanti baru betulkan.


Tapi sebab dia bersungguh-sungguh kata suruh betulkan, jadi esok pagi telefon tuan punya parking minta tolong beritahu kata, saya nak betulkanlah bumper depan kereta. Tak sampai beberapa jam lepas itu, dapat call dari tuan punya kereta dan orang insuran kata minta maaf dan insuran akan uruskan pasal kereta. Sabtu lepas bawa kereta ke bengkel dan orang kedai kata mungkin kena ganti satu bumper sebab bukan sahaja calar tapi dah senget bumper tuh. Tak perasan pun. Lepas ini tinggal tunggu call dari kedai kereta. Tak payah bayar apa-apa pun. Semua insuran tanggung.

Ini pula cerita sebulan yang lepas. Hazim terkena pintu kereta bapa kawan dia waktu nak buka pintu kat tempat parking sekolah. Bila tengok calar sikit, kalut jadinya. Boleh ajer buat tak tahu sebab tak de orang yang nampak. Jahat sungguh niat pada mulanya. Tapi cakap juga kat bapa kawan Hazim, minta maaf dan kata insuran kereta saya akan tanggung kos nak baiki kereta dia. Telefon mak kawan tuh pula kata minta maaf tapi diaorang kata tak per sebab sikit sangat calarnya. Lega rasa. Kalau tidak, memang kena tukar satu pintu kereta dia yang mungkin mahal giler (cat kereta dia jarang nampak di Jepun --- warna oren tapi macam gold sket).


Kesimpulannya, kalau kita bercakap benar walaupun takut dengan outcome-nya, balasannya pasti yang lebih baik. Boleh ker gitu?..


Friday, October 30, 2009

Ladang

Hari sabtu lepas, sekolah Hazim buat rombongan ke Green Park. Kami berdua naik bas yang disewa khas oleh pihak sekolah dengan kawan-kawan Hazim yang lain. Sampai-sampai sahaja, Hazim makan dulu. Kawan-kawan lain ada yang dah berlari ke tempat mainan tapi biasalah Hazim kalau takde Haziq mesti jadi pendiam. Tak lama kemudian, Haziq sampai dengan Ayah naik kereta. Lepas beri Haziq dan Hazim main di tempat mainan, ajak tengok kanggaru (ada anak kanggaru duduk dalam poket ---- kaki anak kanggaru sahaja yang nampak..) dan tengok bunga kosmos.

Inilah rupa bunga kosmos di Green Park

Lepas tengahari terfikir nak pergi mana. Terus cari ladang buah. Sekarang dah sampai penghujung musim anggur dan pear atau nashi tapi kami redah juga mencari ladang buah. Telefon sana sini, cancel pergi ke ladang yang dah telefon awal-awal (sebab jauh sangat dan dah petang), masuk hutan, naik gunung, keluar hutan, akhirnya jumpa ladang buah anggur dan nashi yang terletak di Iizuka. Memang dalam hutan belantara sungguh. Tapi seronok sangat masuk ladang buah. Tenang!.

Sebelah kiri pokok nashi dari dua spesis yang agak terkenal,
Hosui (豊水)dan Niitaka (新高).
Sebelah kanan anggur jenis tiada biji dalamnya tapi besar-besar (巨峰).

Pertama kali tengok pokok nashi terkejut sebab rendang. Ingatkan macam pokok epal, tinggi dan ada jarak antara pokok tapi pokok nashi bukan seperti itu. Rendang dan rantingnya rapat serta berselirat sesama pokok. Menurut kata tuan punya ladang, pokok-pokok yang dah berumur 20 tahun itu memang dibuat begitu untuk memudahkan kerja memetik. Bawahnya pula bersih saja.

Cara memetik buah pear adalah dengan menolaknya ke atas. Tak perlu gunting segalanya. Pilih buah pear yang besar dan berat. Buah pear juga elok untuk kurangkan batuk, darah tinggi, kencing manis dan banyak lagi khasiatnya. Haziq dan Hazim bukan main seronok dapat petik buah pear. Maklumlah kesukaan masing-masing..

Warna kyoho sebenarnya lebih kepada merah ke-ungu-an. Kiranya yang ini defect nyer.

Sebelah ladang buah pear ada ladang buah anggur tapi sekarang musimnya dah habis. Yang ada hanyalah anggur yang tak menjadi, jenis kyohou (巨峰). Kami dapat rasa setangkai yang menurut kata tuan punya ladang tak berapa sedap. Tapi bila sampai kat tekak kami, sedap aje!!.

Waktu nak balik, sempat ambil gambar kincir air di depan kedai. Unik sangat. Lagi satu, waktu kami ramai-ramai tengah borak depan kedai, tiba-tiba dari jauh lagi dengar bunyi kereta mengaum. Tapi tak nampak pun kereta yang datang. Tengok-tengok ada pula Porsche warna merah tengah test jalan rasanya lalu depan kami. ちょう~~~ 格好いい!

* Semua gambar di atas di ambil oleh budding photographer, Izzat. Thanks Izzat!. Cayang Izzat..

Inilah pemandangan depan kedai dengan kincir air. Tuan punya ladang itu kata ramai juga orang dari Eastern Europe, Korea dll datang ke ladang. Tapi ini pertama kali orang Malaysia datang ke ladang dia.


Siap!

Pemandangan musim luruh dari bangunan Fakulti Ekonomi.
Bangunan putih tuh perpustakaan tapi tak mesra "pelajar"


Hari ini berjaya siapkan full paper untuk Conference di Malaysia bulan 12 dan dah hantar. Yeay!.
Tapi sebelum itu, nak kata...Saya riiiinnnnnnduuu untuk menulis dalam blog ini.

Banyak cerita nak kongsi bersama.
Cerita kami ke ladang pear dan anggur (梨狩り),
cerita kereta kena "cium" kat bumper depan (kami tiada dalam kereta),
cerita kapal kontena Korea berlanggar dengan kapal 自衛隊(Japan Self Defense) di Selat Kanmon (kami juga tiada dalam kapal) dan cerita Haziq Hazim.

Tapi tak tahu nak cerita yang mana satu dulu.
Tunggu ya......