Hari ketiga di Istanbul. Pagi-pagi lagi kami dah keluar untuk cari Spice Bazaar. Kata orang murah. Dekat saja kalau jalan kaki dari hotel tapi entah masuk lorong sana masuk lorong sini, tak jumpa juga. Akhirnya jumpa New Mosque nih dulu. Atau kat sana dipanggil Yeni Camii. Cantik masjidnya sebab tepi laut. Masuk-masuk dalam terpegun tengok ukiran di bangunan. Ramai juga mat saleh yang datang tengok masjid sampai ke dalam. Di luar pintu masjid ada diletakkan tabung. Macam-macam jenis duit ada. Cuma tak nampak duit Malaysia saja. Satu lagi yang perasan, setiap masjid di sini mesti ada nama Allah, Muhammad dan nama 4 sahabat Nabi.
Habis sahaja kami jalan-jalan dalam masjid, cuba cari Spice Bazaar yang terletak sebelah sahaja. Dekat ajer rupanya. Banyak pula burung merpati di tepi masjid. Pondok merah tuh tempat orang-orang tua menjual jagung makanan burung. Kami sempat beli kebab untuk makan tengahari dan sambil duduk di dataran depan masjid, memerhatikan orang lalu lalang. Ada juga orang yang sapa kami dengan bahasa Melayu. Bila pusing tengok siapa, dah lesap. Aik.....
Masuk sahaja dalam Spice Bazaar, terus singgah kedai jual cenderamata. Murah jugalah. Keychain seketul hanya 1 lira. Boleh kata 1 ringgit. Kalau nak tahu Turki nih terkenal dengan Evil's Eye (yang warna biru dan putih, diperbuat dari kaca). Haziq dan Hazim dapat keychain free seorangsatu dari pakcik kedai. Bila dah masuk tengahari ramai sungguh orang.
Tak sanggup nak tengok lama-lama dalam Spice Bazaar jadi kami jalan tengok kedai-kedai di luar pasar. Semua lorong kami masuk. Banyak betul kedai tudung, alas tilam, kain telekung, kasut dan macam-macam lagi. Skirt denim yang labuh pun banyak. Susah nak cari skirt denim kat Jepun yang labuh dan tak terbelah belakangnya. Kena sambar satu gaklah nanti.
Petang sikit, hujan mula turun. Gerimis. Tapi kami masih tak jumpa jalan balik. Biasalah bila dah masuk sana dan sini, peta pun tak berguna. Kami teruskan perjalanan dan ada juga tanya orang keliling jalan nak balik ke hotel. Nasib baik Haziq dan Hazim sporting. Haziq siap kata, " Ummi tak tahu jalan balik ya. Takper. Kita jalan terus. Lepas tuh belok kiri". Hazim pula menyampuk kata "lepas tuh belok kanan". Ikut sedap kaki bawa kami jalan sampailah akhirnya jumpa stesen tram dan terus ambil keputusan naik tram balik ke hotel.
Bila petang, ramai sungguh orang beratur nak naik tram. Nasib ada pakcik yang baik hati. Masuk dalam tram terus dia letak beg plastik dia kat tempat duduk depan dan panggil kami suruh duduk di situ. Orang Turki nih kalau nampak pelancong Islam, terutamanya wanita dan bawa anak, memang baik. Terima kasih pakcik!. Sebelum balik ke hotel kami singgah di Topkapi Palace. Cerita kami ke Topkapi pula entri selepas ini.
Sampai jer di bilik hotel, kami semua pengsan kepenatan. Esoknya dah nak bertolak ke Izmir (satu jam naik kapalterbang) dan tinggalkan Haziq dan Hazim pada Kak Yat. Jadi nak tak nak kenalah kemas sikit-sikit sebab dah nak check out hotel esoknya.
No comments:
Post a Comment