Friday, January 01, 2010

Keluarga

Setiap pelajar asing yang baru sampai di Jepun pasti akan menerima sebuah keluarga angkat Jepun. Samaada pejabat Foreign Student yang carikan atau student cari sendiri melalui iklan yang diletak di sekitar Universiti. Samalah seperti saya yang setakat ini ada dua buah keluarga angkat Jepun, masih berhubung hingga sekarang.

Keluarga angkat yang pertama, Morinaga Family tinggal di Utara Hiroshima dan diperkenalkan kepada saya tahun 1996, pertama kali sampai untuk study undergrad di Hiroshima University. Setiap kali cuti panjang, mesti bermalam di rumah Morinaga Family dan dari situlah saya belajar bermain ski. Kebetulan rumah mereka berdekatan dengan tempat ski jadi tiada bayaran dikenakan untuk bermain ski.

Mereka pernah ke Malaysia beberapa kali dan kali terakhir kami bertemu sewaktu ayah dan mak Kedah datang bercuti ke Jepun 2 tahun yang lalu. Walaupun selepas itu, saya tidak sempat ke rumah mereka (naik kereta dalam 4 jam dari Moji ke Shobara, Hiroshima), setiap kali masuk tahun baru (お正月), saya telefon untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru dan bertanya khabar.

Keluarga angkat saya yang kedua, Shimizu Family tinggal di Yamaguchi dan saya berkenalan dengan mereka sewaktu baru sampai di Yamaguchi tahun 2006. Mereka banyak menerima kunjungan pelajar asing dari pelbagai negara. Malaysia, China, Korea, Turki, dan bermacam-macam negara. Hari ini, kami sekeluarga berkunjung ke rumah mereka untuk bersama-sama meraikan Tahun Baru. Dah dekat 3 tahun tak jumpa, seronok rasanya bercerita terutamanya dengan Haziq dan Hazim yang dah boleh berbual dalam bahasa Jepun.

Saya perhatikan orang Jepun yang banyak bergaul dengan orang asing, pemikiran mereka lebih terbuka, suka mendengar cerita tentang budaya dari negara lain dan amat menghormati cara kita mengamalkan agama, adat resam kita sendiri. Kalau awal-awal kita tunjukkan pendirian kita pada satu-satu hal, mereka akan ingat dan hormat kita sebagai seorang yang tidak boleh dibuat main-main. Tapi yang penting disini, kita semua saling hormat menghormati walaupun berlainan agama, negara, bangsa dan budaya.......