Sunday, January 31, 2010

Avatar


Hari tuh waktu Avatar baru-baru keluar, kami bawa Haziq dan Hazim tengok Avatar. Oleh kerana cerita ini memakan masa lebih dari 2 jam, awal-awal lagi dah suruh pergi bilik air dan beritahu jangan tidur, tengok sampai habis. Cerita nih best. Tapi kalau Hazim nak tidur pun takperlah, daripada dia duduk kat kerusi resah sahaja.

Nasib baik sepanjang tengok Avatar, Haziq dan Hazim memang boleh tengok sampai habis. Mula-mula tuh macam bosan, jadi Haziq asyik duduk dan bangun dari kerusi. Orang pula tak ramai. Jepun nih lebih suka tengok yang alihbahasa ke bahasa diaorang. Haziq dan Hazim pun tengok sampai habis dan komen yang diterima lepas habis cerita adalah "kenapa orang tuh biru?."

Best juga Avatar. Ya, dah basi pun cerita nih kan. Tapi nak tunjuk gambar "Floating Mountain"dalam Avatar tuh sebenarnya ada di Zhangjiajie, China. Tapi tidaklah terapung.

Idea pemandangan dalam Avatar semuanya datang dari Taman Negara di Zhiangjiejie. Menarik.

Friday, January 29, 2010

Marathon


Hari ini sekolah Haziq ada marathon/ merentas desa. Tapi taklah jauh sangat. Keliling sekolah sahaja. Tapi kagum tengok budak-budak sekolah nih semua. Kebanyakkannya pakai t-shirt lengan pendek dan seluar pendek, lari dalam sejuk. Agaknya nak elakkan badan berpeluh dan panas dalamnya.

Budak darjah 1 lari dengan budak darjah 2 dan dibahagikan kepada dua kumpulan, perempuan dan lelaki. Lepas kumpulan perempuan darjah 1 dan 2 lari dan tamat barulah dilepaskan kumpulan budak-budak lelaki darjah 1 dan 2.

Tengok Haziq lari naik bukit termengah-mengah tapi dia lari juga dan habis dalam masa lebih kurang sama dengan orang lain. Tengok nombor lak, tempat ke 24 dari 28. Takperlah Haziq, asalkan lari.....Lepas habis lari dan nak balik rumah, jumpa Haziq kata "gambattane!". Suka ajer dia tengok Umminya datang. Lepas marathon, Haziq ada kelas jadi dia balik macam biasa.

Petangnya kami lumba siapa paling banyak boleh nawatobi (rope skipping). Huhu, dah lama tak exercise, kejab ajer dah pancit.

Thursday, January 28, 2010

Pemakaman



Sejak Almarhum Sultan Iskandar mangkat 22 Januari 2010 yang lalu, tercari-cari video di Youtube yang ada tunjuk istiadat pemakaman. Akhirnya jumpa bila keluar dalam Berita Harian Online hari ini.

Sebelum itu, baca dalam forum, facebook, suratkhabar kata anakanda dan cucunda Almarhum turut turun ke dalam liang lahad untuk masukkan tanah dan semuanya. Talkin yang dibaca pun menusuk kalbu. Akhirnya dapatlah tengok dalam video. Memang betul. Terasa syahdu.

Sedih kehilangan sultan yang baik dan dekat dengan rakyat. Ingat lagi waktu Almarhum Sultan Iskandar datang ke sekolah rendah yang memang di pendalaman dengan menaiki helikopter untuk merasmikan sekolah agama yang baru. Dapat salam dan memang baginda seorang sultan yang simple dan tidak suka dengan protokol yang berat-berat. Suka tengok bila dia senyum dan muka pun happy semasa kami persembahkan nasyid dan berzanji waktu Almarhum sampai.

Semoga Johor lebih terus cemerlang di bawah pemerintahan Sultan Johor yang baru, Sultan Ibrahim Ismail. Insya'Allah.....

* Boleh lihat video bahagian kedua dalam youtube bawah channel BHonline 1

Monday, January 25, 2010

Terowong

Dah lama plan nak ke Busan, Korea (shopping punya pasal) naik feri dari Mojiko atau Shimonoseki. Tapi bila memikirkan kena duduk dalam feri dari pukul 6 petang (Shimonoseki ) dan sampai di Busan pukul 8 pagi keesokkannya, terasa bosan lah pula. Ramai yang kata barang-barang di Busan murah-murah belaka.

via Korea Times

Menurut berita dalam Korea Times ini, kalau idea terowong bawah laut sepanjang 200km ini jadi kenyataan, terowong ini akan jadi terowong bawah laut terpanjang di dunia. Sekarang terowong antara UK dan Perancis paling panjang dengan 50.5 km.

Selain dari itu, ekonomi dua hala (terutamanya dengan FTA antara Jepun dan Korea yang asyik tertangguh) akan bertambah pesat. Ramai pihak yang sokong supaya buat terowong bawah laut nih. Mengikut satu survey, 60% dari yang jawab berasa ekonomi Busan akan lebih baik jika terowong jadi realiti.

Tapi ramai juga orang Korea yang masih anti-Jepun menghalang pembinaan terowong ini dengan ada yang berpendapat Jepun akan lebih untung dalam hal ini.

Apa-apa halpun, pembinaannya pasti memakan masa yang lama. Tapi tak hairanlah kalau dengan gabungan teknologi Jepun dan Korea, terowong bawah laut ini mungkin akan memakan masa dalam 3-4 tahun sahaja. Boleh merasa naik shinkansen ke Busan nanti.....


Saturday, January 23, 2010

Buku



Suka sangat tengok diaorang design cafe di kedai buku NY. Tapi terasa sayangnya buku kena tebuk dan gantung macam dalam gambar kat atas.

Credit untuk designer yang creative!.

Ice Skating

Hari Rabu yang lepas, Haziq ada kelas belajar ice skating. Ibubapa boleh datang tolong pakaikan kasut skate dan tengok sekali kelas macam mana nak belajar skate.

Kata cikgu yang ajar, "Hari ini semua orang kena jadi penguin jadi kaki kena buat bentuk V. Tumit kena rapat. Kalau boleh jadi macam penguin tak de problem untuk skate atas ais nanti".

Jadi apa lagi semua pun berlatih jadi penguin. Kelakar tengok budak-budak darjah 1 bersungguh-sungguh jadi penguin. Siap dengan tangan sekali. Bila dah pakai kasut, cikgu yang ajar skate pun suruh masuk dalam gelanggang ais.

Ada yang tak boleh nak berdiri langsung sebab mula-mula rasa takut. Haziq pula sekali cuba, jatuh terduduk tapi bila kali kedua, dia dah boleh berdiri. Bila cikgu suruh jalan atas ais pun dia boleh buat. Adalah kadang-kadang dia sesaja jatuhkan badan nak main-main tunjuk betapa licinnya jalan atas ais.

Dekat 2 jam juga diaorang dalam kelas skate. Macam best ajer. Nak join main skate tapi malangnya kena balik awal naik bas. Kalau tidak boleh main free siap dengan kasut sekali.

Semua dah boleh berdiri macam penguin.



Friday, January 22, 2010

Toyota

Jumlah pelawat hari ini 221 orang. Jumlah pelawat sehingga hari ini 156, 489 orang

Semua tuh Lexus (untuk domestik dan eksport)

Tadi melawat kilang Toyota di Wakamiya. Berbeza dengan kilang Nissan di Kokura, kawasan kilang Toyota Kyushu memang luas. Sesat jugalah kami (berdua dengan Ani) mencari pintu masuk utama. Bila dah jumpa pintu masuk terlajak sampai ke kawasan dalam kilang, tempat test kereta pula tuh. Nasib baik security tak datang follow ikut belakang. Sebenarnya nak U-turn tapi tak tahu nak u-turn kat mana.

Hybrid Eco-Park

Galeri Toyota memang seperti mana-mana galeri kilang kereta. Teknologi Toyota lebih kepada environment jadi ada bahagian pameran khas mengenai teknology hybrid. Menarik. Satu motor dua fungsi. Hari tuh bila test drive kereta Prius memang best. Senyap dan selesa. Masuk kereta Prius cari tempat letak kunci tapi takde. Rupanya pakai Smart Key.

Tepat pukul 12:55, kami semua naik bas untuk mula tengok bahagian production. Kalau di Nissan, ramai family atau orang biasa tapi di Toyota, yang datang untuk melawat kilang semuanya pakai formal, orang business. Perempuan pun tak ramai.

Di Toyota, kami dibawa melawat kawasan assembly sahaja. Sebelum itu, ada ditunjukkan video mengenai stamping, welding, painting dalam theater room. Video tak boring sebab seolah-olah kita berada dalam salah satu body kereta (sebelum jadi kereta). Macam 3D cuma tak pakai cermin mata khas sahaja.

Bila sampai di kawasan assembly macam biasa, bersih sahaja kawasan kilang. Semua bahagian kereta yang berat seperti enjin, seat kereta, tayar, chassis kereta dikendalikan oleh robot. Pasang skrew, span atau bahagian kereta yang ringan dipasang oleh pekerja. Muda-muda pula tuh. Average umur sekitar 33 tahun.

Lepas tengok kereta siap dipasang seat, kereta di bawa masuk bahagian pemeriksaan menyeluruh. Oh ya, kilang Toyota Kyushu buat model Lexus (macam-macam model), Harrier, Sai dan ada dua lagi model. Lexus sahaja yang ada double inspection (di luar dan di dalam kawasan kilang) untuk pastikan tiada defect 100%. Padanlah harga Lexus mahal.

Lepas tengok kereta, kami dibawa menaiki bas untuk tengok factory waste management. Canggih. Memang Jepun ambil berat sungguh pasal environment. Aqua centre pun ada. Ini untuk proses cecair lebihan dari proses painting, welding dan stamping. Akhir sekali, air yang telah diproses sepenuhnya disalurkan ke sungai berhampiran. Dulu sungai yang berdekatan kilang tiada ikan dalamnya tapi sejak air bersih dari kilang disalurkan, ikan pun suka datang berenang di situ.

Banyak dapat belajar hari ini.....

Thursday, January 14, 2010

Celoteh



Semalam dalam kereta, balik dari Yamaguchi, Hazim pun kata;

"日本はブロック(おもちゃ)があるから好きけど、寒いのが嫌いだ”。
(suka duduk Jepun sebab banyak mainan, tapi sebab sejuk tak suka)

Lepas itu dia sambung lagi,

”マレーシアは暑いのが好きけど、nyamukが嫌いだ!”
(Suka Malaysia sebab panas tapi benci dengan nyamuk!)

Haziq tambah

"ulat gonggok もね”
(termasuk ulat gonggok)

* waktu balik sekejab bulan 12 hari tuh, dua binatang di atas merupakan mimpi ngeri bagi diaorang.. suka datang dekat dengan Haziq dan Hazim.....

Monday, January 11, 2010

Sushi

Dah lama nak cari yang ada tulis English. Yang nih bagus untuk share dengan semua "Sushi-lovers". Selamat Bersushi!!!

via swissmiss

* Selalu cicah nasi kat shoyu bukannya ikan yang di atasnya......

Wednesday, January 06, 2010

Matlamat

Semalam pergi Uni. jumpa sensei, bentang draft monthly presentation untuk next week.
Lepas habis dengar dia lecture, bagitahu matlamat research untuk 2010.

1) Hantar 1 paper kat Journal
2) Present 1 paper di Conference (target yang kat Izzmir, Turkey)
3) Apply 研究助成 (Research Funding) untuk support duit kapalterbang, buat survey/ interview kat kilang kereta dan macam-macam lagi.

Yamaguchi University cuma bagi sekali sahaja funding untuk 3 tahun jadi kalau nak buat research yang baik sikit, kenalah keluar duit dari poket sendiri. Kebanyakkan senior dari China pun kena buat macam gitu. Research diaorang pula lebih kepada negara sendiri berbanding dengan kita lebih kepada negara-negara di Asia Timur. Nak kena pungut data bukan sahaja dari Jepun dan Malaysia tapi negara-negara lain juga.

Nak tak nak kenalah rajin tengok iklan kat sekolah dan internet yang ada offer research funding untuk phd student. Tapi banyak pula yang berkaitan dengan Jepun dan budaya macam Japan Foundation. Jarang ada yang nak support untuk research di Asia Timur dalam bidang Ekonomi. Tapi tak apa, perhebatkan usaha pasti berjaya. Untuk itu, mungkin blog tak sempat di update selalu kecuali ada cerita yang best untuk dikongsi bersama.

がんばるぞ!

Friday, January 01, 2010

Keluarga

Setiap pelajar asing yang baru sampai di Jepun pasti akan menerima sebuah keluarga angkat Jepun. Samaada pejabat Foreign Student yang carikan atau student cari sendiri melalui iklan yang diletak di sekitar Universiti. Samalah seperti saya yang setakat ini ada dua buah keluarga angkat Jepun, masih berhubung hingga sekarang.

Keluarga angkat yang pertama, Morinaga Family tinggal di Utara Hiroshima dan diperkenalkan kepada saya tahun 1996, pertama kali sampai untuk study undergrad di Hiroshima University. Setiap kali cuti panjang, mesti bermalam di rumah Morinaga Family dan dari situlah saya belajar bermain ski. Kebetulan rumah mereka berdekatan dengan tempat ski jadi tiada bayaran dikenakan untuk bermain ski.

Mereka pernah ke Malaysia beberapa kali dan kali terakhir kami bertemu sewaktu ayah dan mak Kedah datang bercuti ke Jepun 2 tahun yang lalu. Walaupun selepas itu, saya tidak sempat ke rumah mereka (naik kereta dalam 4 jam dari Moji ke Shobara, Hiroshima), setiap kali masuk tahun baru (お正月), saya telefon untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru dan bertanya khabar.

Keluarga angkat saya yang kedua, Shimizu Family tinggal di Yamaguchi dan saya berkenalan dengan mereka sewaktu baru sampai di Yamaguchi tahun 2006. Mereka banyak menerima kunjungan pelajar asing dari pelbagai negara. Malaysia, China, Korea, Turki, dan bermacam-macam negara. Hari ini, kami sekeluarga berkunjung ke rumah mereka untuk bersama-sama meraikan Tahun Baru. Dah dekat 3 tahun tak jumpa, seronok rasanya bercerita terutamanya dengan Haziq dan Hazim yang dah boleh berbual dalam bahasa Jepun.

Saya perhatikan orang Jepun yang banyak bergaul dengan orang asing, pemikiran mereka lebih terbuka, suka mendengar cerita tentang budaya dari negara lain dan amat menghormati cara kita mengamalkan agama, adat resam kita sendiri. Kalau awal-awal kita tunjukkan pendirian kita pada satu-satu hal, mereka akan ingat dan hormat kita sebagai seorang yang tidak boleh dibuat main-main. Tapi yang penting disini, kita semua saling hormat menghormati walaupun berlainan agama, negara, bangsa dan budaya.......