Sekujur tubuh di hadapanku seolah-olah
sedang tidur. Suasana di hospital pada ketika ini kurasakan sepi. hanya aku dan
tubuh Abah yang kaku. Airmataku berjujuran turun. Laju. Hangat. Bukan teresak-esak tetapi hanya perasaan yang sebak.
Abah meninggal pada 19 Oktober 2014 kerana sakit jantung di Terminal Bas di Bandar Tasik Selatan ketika mahu pulang ke kampung
bersama Mak. Ditemani oleh Kak Lin, Huda, Abang Joe dan Harry. Ketika panggilan
telefon diterima pada jam 11 pagi dari Kak Lin, mengatakan Abah mengalami
serangan jantung di terminal bas, hati kecil sudah terdetik yang ada sesuatu
akan berlaku pada Abah.
Aku segera ke Hospital HUKM Cheras bersama
Haziq dengan air mata berjujuran turun laju. Nafas seakan tersekat dan fikiran
melayang entah ke mana. Sampainya di hospital, kulihat Kak Lin sudah menangis.
Emak juga begitu. Benarlah, mati itu pasti. Apabila ditanya oleh doktor, apakah
yang kami inginkan, semestinya untuk kebaikan Abah. Kami redha sekiranya Abah
meninggalkan kami setelah difikirkan perkara yang telah berlaku sebelum Abah pergi
meninggalkan dunia yang fana ini.
Diri ini sungguh kerdil dibandingkan
dengan kebesaran Allah. Siapalah kita untuk melawan takdir. Allah lebih
meyayangi Abah. Abah pergi dalam keadaan tenang. Mahu berehat katanya kepada
aku pada malam terakhir kami adik beradik di rumah Kak Lin. Ketika itu, aku
rasa ingin memeluk tubuh Abah yang kurus tetapi aku hanya sempat mencium tangan
Abah lantaran malam sudah lewat. Waktu itu juga, wajah abah kelihatan bersih
dan sedikit pucat. Abah tidak banyak bercakap dan banyak mendengar.
Walaupun
seperti selalu, tetapi kali ini aku dapat rasa kelainan pada Abah. Pergerakkan
Abah juga agak perlahan tetapi masih mahu makan bersama dan berbual dengan
kami. Kak Iza yang duduk bersebelahan dengan Abah ada bertanyakan penyakit
Abah. Kebiasaanya kami tidak pernah mendengar Abah merungut atau mengeluh.
Semuanya di katakan tidak ada apa-apa, sihat atau sedikit sahaja sakit tetapi
kali ini jawapan Abah kepada soalan Kak Iza agak mengejutkan aku. Abah
mengatakan dirinya agak letih dan mahu berehat selepas ini. Siapa sangka Abah
memang benar-benar berehat dari urusan dunia yang banyak meletihkannya.
Al-Fatihah untuk Abah....
Al-Fatihah untuk Abah....
No comments:
Post a Comment