Tuesday, December 09, 2014

Memori untuk Abah (1)



Sekujur tubuh di hadapanku seolah-olah sedang tidur. Suasana di hospital pada ketika ini kurasakan sepi. hanya aku dan tubuh Abah yang kaku. Airmataku berjujuran turun. Laju. Hangat. Bukan teresak-esak tetapi hanya perasaan yang sebak.

Abah meninggal pada 19 Oktober 2014 kerana sakit jantung di Terminal Bas di Bandar Tasik Selatan ketika mahu pulang ke kampung bersama Mak. Ditemani oleh Kak Lin, Huda, Abang Joe dan Harry. Ketika panggilan telefon diterima pada jam 11 pagi dari Kak Lin, mengatakan Abah mengalami serangan jantung di terminal bas, hati kecil sudah terdetik yang ada sesuatu akan berlaku pada Abah.

Aku segera ke Hospital HUKM Cheras bersama Haziq dengan air mata berjujuran turun laju. Nafas seakan tersekat dan fikiran melayang entah ke mana. Sampainya di hospital, kulihat Kak Lin sudah menangis. Emak juga begitu. Benarlah, mati itu pasti. Apabila ditanya oleh doktor, apakah yang kami inginkan, semestinya untuk kebaikan Abah. Kami redha sekiranya Abah meninggalkan kami setelah difikirkan perkara yang telah berlaku sebelum Abah pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

Diri ini sungguh kerdil dibandingkan dengan kebesaran Allah. Siapalah kita untuk melawan takdir. Allah lebih meyayangi Abah. Abah pergi dalam keadaan tenang. Mahu berehat katanya kepada aku pada malam terakhir kami adik beradik di rumah Kak Lin. Ketika itu, aku rasa ingin memeluk tubuh Abah yang kurus tetapi aku hanya sempat mencium tangan Abah lantaran malam sudah lewat. Waktu itu juga, wajah abah kelihatan bersih dan sedikit pucat. Abah tidak banyak bercakap dan banyak mendengar. 

Walaupun seperti selalu, tetapi kali ini aku dapat rasa kelainan pada Abah. Pergerakkan Abah juga agak perlahan tetapi masih mahu makan bersama dan berbual dengan kami. Kak Iza yang duduk bersebelahan dengan Abah ada bertanyakan penyakit Abah. Kebiasaanya kami tidak pernah mendengar Abah merungut atau mengeluh. Semuanya di katakan tidak ada apa-apa, sihat atau sedikit sahaja sakit tetapi kali ini jawapan Abah kepada soalan Kak Iza agak mengejutkan aku. Abah mengatakan dirinya agak letih dan mahu berehat selepas ini. Siapa sangka Abah memang benar-benar berehat dari urusan dunia yang banyak meletihkannya. 

Al-Fatihah untuk Abah....